PENGIKTIRAFAN PUSAT PENGURUSAN PENYELIDIKAN DAN INOVASI (RMIC) UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI) SEBAGAI “INSTITUT PENYELIDIKAN YANG DILULUSKAN” DIBAWAH SEKSYEN 34B AKTA CUKAI PENDAPATAN 1967

Sukacita dimaklumkan, Yang Berhormat Menteri Kewangan melalui surat Kementerian Kewangan, Rujukan MOF.TAX(S)700-2/1/93 (6) bertarikh 30 Jun 2020 telah bersetuju mengiktiraf RMIC,UPSI sebagai “Institut Penyelidikan Yang Diluluskan” dibawah seksyen 34B Akta Cukai Pendapatan 1967. Dengan pengiktirafan ini, maka syarikat yang menyumbang wang tunai untuk aktiviti penyelidikan di UPSI layak untuk mendapat potongan cukai dua (2) kali selagi mana mematuhi definisi penyelidikan dalam Akta Penggalakan Pelaburan 1986 seperti berikut:

“Penyelidikan dan kemajuan” ertinya apa-apa kajian sistematik, siasatan dan eksperimen yang melibatkan risiko novelti atau teknikal yang dijalankan dalam bidang sains atau teknologi dengan tujuan untuk mendapatkan pengetahuan baharu atau menggunakan hasil kajian untuk pengeluaran atau perbaikan bahan, alat, atau keluaran, hasil atau proses tetapi tidak termasuk:

  1. kawalan mutu atau pengujian rutin bahan, alat atau keluaran;
  2. penyelidikan sains sosial atau ilmu kemanusiaan;
  3. pemungutan data rutin;
  4. kaji selidik kecekapan atau kajian pengurusan;
  5. penyelidikan pasaran atau penggalakan penjualan;
  6. pengubahsuaian atau penggubahan rutin bagi bahan, alat keluaran, hasil atau kaedah pengeluaran;atau
  7. pengubahsuaian kosmetik atau pengubahsuaian stilistik bagi bahan, alat, keluaran, proses atau kaedah pengeluaran.

Justeru itu, para penyelidik yang berhasrat untuk memohon dana penyelidikan daripada syarikat/institusi/agensi boleh membuat permohonan terlebih dahulu untuk mendapatkan salinan surat dan sijil pengiktirafan Kementerian Kewangan daripada pihak RMIC untuk kegunaan semasa berurusan dengan pemberi dana. Bersama-sama ini dilampirkan infografik Prosedur dan Garis Panduan Penyelidikan Di Bawah Insentif Cukai Seksyen 34 (B) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) untuk makluman dan rujukan YBrs.Prof./Prof Madya/Dr./Tuan dan Puan.

Sehubungan dengan itu, kerjasama YBrs.Prof./Prof Madya / Dr. / Tuan / Puan adalah dipohon agar dapat memanjangkan perkara ini kepada para penyelidik dan kakitangan di pusat tanggungjawab. Sebarang pertanyaan, sila berhubung dengan Pegawai Kewangan RMIC En Abdul Hanif Bin Mt Saberi melalui email hanif.saberi@upsi.edu.my .